Selamat datang ke Dakwat Hitam.
Laman ini bermula daripada satu tabiat lama saya: membaca berita, kemudian bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya maksud semua ini kepada kita? Kepada penjawat awam, kepada pekerja biasa, dan kepada keluarga yang setiap hujung bulan menghitung baki gaji. Dakwat Hitam ialah tempat saya mencatat jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.
Topik yang saya kupas berkisar tentang dasar awam dan pengurusan sumber manusia, geopolitik, ekonomi digital, serta teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Sesekali, saya selitkan juga tulisan yang lebih ringan. Setiap ulasan berpaksikan berita semasa, sama ada tempatan atau antarabangsa, dan disertakan pandangan saya sendiri.
Mengapa Dakwat Hitam?
Namanya diambil daripada peribahasa hitam di atas putih. Apa yang ditulis akan kekal tercatat, dan bukan sekadar disebut lalu dilupakan. Saya cuba berpegang kepada semangat itu: menulis secara kritis, berasaskan fakta, dan bertanggungjawab terhadap setiap perkataan yang diterbitkan.
Sedikit tentang saya
Nama saya Azhar, dan saya menetap di Kuching, Sarawak.
Saya memulakan kerjaya sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di sebuah universiti awam, sebelum beralih ke bidang pentadbiran pada tahun 2021. Kini, saya berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar dalam pengurusan sumber manusia, dan urusan pelantikan, dasar perkhidmatan serta pematuhan menjadi rutin harian saya. Pengalaman berkenaan banyak membentuk cara saya membaca sesuatu dasar, iaitu bukan sekadar apa yang tertulis, tetapi juga bagaimana ianya dilaksanakan dan dirasai di peringkat bawah.
Sejak tahun 2014, saya juga aktif sebagai penterjemah bebas Inggeris–Melayu. Pengalaman inilah yang menyuburkan rasa cinta saya terhadap bahasa Melayu, dan saya cuba memartabatkannya dalam setiap tulisan di sini.
Segala pandangan di sini adalah pandangan peribadi saya, dan tidak mewakili mana-mana organisasi atau majikan.
Mari berbual
Ada pandangan berbeza, pembetulan fakta atau cadangan topik? Saya amat mengalu-alukannya. Hubungi saya di editor@dakwathitam.com atau melalui halaman Hubungi.
Selamat membaca.

