Di Luar Slip Gaji: BNPL dan Baki Pendapatan yang Tidak Kelihatan

Tangan memegang telefon pintar Android dalam gambar jarak dekat

Kemudahan kredit yang paling berbahaya bukanlah yang besar angka pinjamannya, melainkan yang kecil tetapi tidak pernah dan tidak akan muncul pada slip gaji.

Dalam urusan pentadbiran sumber manusia, slip gaji lazimnya dirujuk sebagai bukti kestabilan kewangan seseorang penjawat awam. Slip itulah yang membuka pintu kepada pembiayaan perumahan, pinjaman peribadi dan kemudahan koperasi, dan slip itu jugalah yang menentukan sama ada sesuatu potongan baharu boleh diluluskan atau tidak. Namun, kini wujud satu bentuk kredit yang bergerak di luar slip berkenaan: skim Buy Now, Pay Later (BNPL), atau Beli Sekarang, Bayar Kemudian.

Ia bukan lagi sektor yang dibiarkan tanpa kawalan sepenuhnya. Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) diwartakan pada 31 Disember 2025 dan berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, bersama penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP). Penyedia BNPL kini diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP; syarat pelesenan itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan selama enam bulan bagi industri memohon lesen. Landskap kredit pengguna negara sedang melalui pancaroba pengawalseliaan.

Seseorang memegang telefon pintar dan kad kredit ketika membuat pembayaran dalam talian
Kelulusan BNPL lazimnya diberikan serta-merta ketika proses pembayaran. Foto: CardMapr.nl/Unsplash.

Skala yang Tidak Lagi Kecil

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi separuh kedua 2025, baki BNPL yang belum dijelaskan meningkat kepada RM4.9 bilion pada Disember 2025, berbanding RM3.8 bilion pada Jun 2025. Akaun aktif mencecah 7.5 juta (Jun 2025: 6.5 juta), manakala transaksi pada separuh kedua tahun itu berjumlah 140.3 juta dengan nilai RM11.9 bilion. Sebanyak 3.2 peratus daripada baki tersebut tertunggak.

Untuk berlaku adil, BNM sendiri menilai eksposur BNPL sebagai masih lagi kecil, iaitu sekitar 0.3 peratus daripada jumlah hutang isi rumah, walaupun diakui perkembangan pesatnya memerlukan pemantauan rapi. Angka agregat yang kecil, bagaimanapun, tidak bermakna tekanan pada peringkat individu juga kecil. Data keseluruhan tidak pernah dan tidak akan menyatakan berapa banyak akaun BNPL yang dipegang oleh seseorang, atau berapa banyak daripadanya menyumbang kepada baki gaji yang kian menyusut.

Di Luar Jangkauan Potongan Gaji

Sejak April 2017, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) melaksanakan sekatan potongan gaji sehingga maksimum 60 peratus daripada jumlah gaji kasar melalui sistem gaji berkomputernya. Tujuannya ialah memastikan pendapatan bersih penjawat awam kekal sekurang-kurangnya 40 peratus, prinsip yang telah digariskan lebih awal menerusi surat edaran JPA bertarikh 25 Disember 2005. Sebarang bayaran yang tidak dapat dipotong melalui sistem gaji menjadi tanggungjawab pegawai berkenaan untuk diuruskan sendiri.

Di sinilah, pada hemat saya, terletaknya jurang yang jarang dibincangkan. Ansuran BNPL bukan termasuk potongan gaji, maka ia tidak dikira dalam had 60 peratus itu. Bayangkan, seorang penjawat awam yang penyata gajinya menunjukkan potongan 55 peratus kelihatan berada dalam lingkungan yang dibenarkan, sedangkan baki pendapatan bersihnya mungkin sudah dibebani beberapa ansuran BNPL yang tidak tercatat dalam sebarang slip. Kawalan rasmi tidak dipintas secara haram; ia sekadar tidak menjangkau ruang ini.

Slip gaji tidak berbohong, tetapi ia juga tidak menceritakan segalanya.

Belanja Harian, Bukan Sekadar Barangan Mewah

Anggapan bahawa BNPL hanya digunakan untuk gajet dan tiket percutian kini kurang tepat. SKP mencatatkan bahawa skim ini semakin diterima di kedai runcit fizikal dan sering digunakan untuk perbelanjaan harian seperti makanan dan minuman, pebelian runcit serta pengangkutan. Kelulusan pula lazimnya diberikan bagi setiap transaksi, serta-merta semasa pembayaran, atau berdasarkan had kredit yang telah ditetapkan.

Apabila perbelanjaan asas turut ditangguhkan bayarannya, ansuran kecil yang bertimpa-timpa mula menggerogoti fleksibiliti kewangan. Ketika inflasi barangan makanan atau kecemasan keluarga tiba, tiada lagi ruang untuk bernafas. Tekanan senyap ini akhirnya merebak kepada emosi, produktiviti dan ketenangan menjalankan tugas hakiki di pejabat.

Baca juga: Di Sebalik Kubikel: Membaca Angka 55,169

Apa yang Boleh Dilakukan

Pelesenan oleh SKP meletakkan tanggungjawab pada penyedia BNPL, termasuk kewajipan pematuhan yang lebih jelas. Namun, peraturan terhadap penyedia tidak menggantikan disiplin pengguna. Bagi penjawat awam, langkah paling praktikal ialah menyemak jumlah keseluruhan komitmen bulanan, termasuk ansuran BNPL yang tidak tertera pada slip gaji, sebelum menambah komitmen baharu. Bagi institusi, literasi kewangan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada kesejahteraan pekerja, bukan sekadar urusan peribadi. Pihak majikan tidak dapat melihat apa yang tidak dipotong melalui gaji, dan kerana itulah kesedaran perlu bermula lebih awal.

Bukan gajet yang mengecilkan wang saku, tetapi kegelojohan untuk memiliki.
Bukan aplikasi yang mengikat leher, tetapi ketidaksediaan menangguhkan kehendak.
Bukan gaji yang tidak mencukupi, tetapi komitmen yang tidak kelihatan.

Kemudahan digital sepatutnya melancarkan pengurusan hidup, bukan menggadaikan ketenangan masa depan.


Sumber:
1. Kementerian Kewangan / Suruhanjaya Kredit Pengguna. (2 Mac 2026). Enforcement of the Consumer Credit Act 2025 and the Establishment of the Consumer Credit Commission.
2. Bank Negara Malaysia. (31 Mac 2026). Financial Stability Review, Second Half 2025, seperti dilaporkan Bernama: BNM says new Consumer Credit Commission will oversee BNPL sector amid rising debt and rapid expansion.
3. Jabatan Perkhidmatan Awam. (25 Disember 2005). Surat Edaran JPA(S)TT.7082 Jld.6 (35): Peraturan Mengenai Larangan Meminjam Wang dan Berada Dalam Keterhutangan Kewangan yang Serius.
4. Jabatan Akauntan Negara Malaysia. (2017). Soalan Lazim: Mengekalkan Pendapatan Bersih Penjawat Awam Sekurang-kurangnya pada Paras Minimum 40%.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *